Camar Di Senja Semalam - Episod 2

Camar Di Senja Semalam
Penulis: Puan Sally
Episod 2
Wangian haruman Dolce &Gabbana Light Blue menusuk ke rongga hidung Datin Seri Aini. Dia kenal benar akan bau haruman itu. Harumannya lembut dan menyegarkan gabungan aroma fruity floral dan sicilian lemon yang membangkitkan aura si pemakai. Ia merupakan pewangi pilihan anak gadisnya Qisya di siang hari. Wangian itu sampai dulu ke dapur sebelum tuan empunya diri memunculkan diri.

Tangan lembut Qisya melingkari leher Puan Seri Aini dari belakang. Satu ciuman lembut dihadiahkan di pipi mamanya. “Selamat pagi mama,” ucap Qisya riang dan penuh kemanjaan. Tingkah laku itu yang membuatkan Puan Seri Aini tidak sanggup untuk berjauhan dengan anak bongsunya itu. Dia akan merindui Qisya yang sentiasa menjadi penghibur di banglow besar itu. 

Puan Seri Aini sempat melirikkan matanya kepada dress labuh berona Tiffany dan ditaburi dengan corak daun hijau tua memanjang yang dikenakan oleh Qisya pada pagi itu. Di pinggangnya pula dilengkapi dengan tali pinggang silver pelangkap gaya. Rambut panjang disikat lurus. Dia mengamati pula wajah anak gadisnya itu. Wajah itu tidak bersolek tebal, cukup sekadar sapuan nipis blusher merah jambu, eyeliner dan lips gloss. Simple tapi memukau. Qisya tidak perlu bermakeup tebal. Dia senang dengan penampilan anak gadisnya begitu. Bulu mata yang melentik dan lesung pipit di kedua pipinya sudah cukup membuatkan semua mata yang memandang mengkaguminya.

“Mama belum habis scan Qisya ke?” tanya Qisya setelah menyedari Puan Seri Aini meneliti penampilannya.

“Tak. Mama sentiasa tak puas tengok anak mama yang seorang ni. Nak tengok lama-lama sebab sekejap lagi takut rindu,” jawab Puan Seri Aini berseloroh mengenangkan Qisya akan sibuk dengan urusan kuliahnya nanti. 



“Mama ni. Macamlah Qisya tak balik rumah langsung. Petang nanti Qisya baliklah. Hmmm... Qisya lapar ni,” balas Qisya mengalihkan topik perbualan pagi itu. Kalau dilayan mamanya itu mahu Datin Seti Aini itu akan ikut Qisya ke kuliah nanti.



“MashaAllah.... Sedapnya breakfast pagi ni. Lama Qisya tak makan sambal sotong. Thank you Mak Siti.” Qisya memeluk Mak Siti yang sedang mencedukkan nasi lemak hijau ke pinggannya. 



“Bukan Mak Siti yang masak. Puan Seri yang masak awal pagi lagi. Mak Siti tolong hidangkan je,” terang Mak Siti sambil mengusap kepala Qisya yang tangannya masih melingkari badan Mak Siti. Anak gadis majikannya itu sangat baik dan peramah. Dia juga sudah menganggap Qisya seperti anaknya sendiri. Pernah Puan Seri Aini dirawat di hospital berbulan lamanya kerana sakit meroyan keguguran anak ke 4, Qisya berada di dalam jagaan Mak Siti pada ketika itu. 



Qisya bingkas bangun dan memeluk mamanya pula. “Thank you mama. Thanks for sambal sotong Mak Aini Gojes,” seloroh Qisya dengan memanggil nama mamanya Mak Aini. Sengaja dia tambahkan gojes di belakang untuk mengusik Puan Seri Aini. Dia akui mamanya masih lagi cantik walaupun usianya di awal 60an. Puan Seri Aini pandai menjaga penampilan diri. Dan dia akui paras rupa yang dimilikinya itu diwarisi dari ibunya. 



Mak Siti senang melihat kemesraan dua beranak itu. Qisya memang pandai mengambil hati orang tua. 



“Sara dah pergi kerja Mak Siti?” tanya Qisya bertanyakan sahabat baik sejak kecilnya itu. 



Sara Dhiya tidak mahu menyambung pengajiannya sehingga peringkat Ijazah. Selepas habis Diploma Pentadbiran Syarikat, dia membuat keputusan untuk terus bekerja. Dia malu untuk berterusan membebani keluarga majikan ibunya itu. Dari kecil hinggalah dewasa segala kelengkapan, keperluan dan pembelajarannya ditanggung oleh Puan Seri Aini dan Datuk Seri Zakri. Sudah terlalu banyak dia terhutang budi dengan keluarga itu. 

“Hari ni dia keluar awal. Naik bas. Keretanya dihantar service petang semalam tak sempat siap. Hari ni siaplah kereta tu,” terang Mak Siti panjang lebar. Kereta Myvi merah itu dihadiahkan kepada Sara oleh Datuk Seri Zakri semasa Sara mendapat tawaran belajar di Universiti 5 tahun yang lalu. Ia dijaga sebaiknya. Rutin service tidak pernah dilengahkan bila sampai waktunya. Walaupun dah 5 tahun Myvi itu tampak baru.



“Laaa, kenapa tak bagitau Qisya semalam. Qisya boleh tolong hantarkan,” Qisya kesal kerana Sara tidak memberitahunya. Dia tahu Sara memang tidak mahu menyusahkannya. Dia juga kesal kerana Sara mengambil keputusan untuk bekerja di syarikat Datuk Seri Zakri dan tidak mahu turut sambung belajar bersamanya. Pada fikirannya, Sara seorang yang pintar. Keputusan diplomanya juga baik dan sering mendapat anugerah dekan. Dia tidak faham kenapa Sara harus memilih untuk terus bekerja. 



Berlainan dengan dirinya, Qisya ingin terus belajar dan memilih untuk mempunyai perniagaannya sendiri suatu hati nanti. Dia tidak akan bekerja di syarikat ayahnya. Cukuplah kedua abangnya menerajui syarikat itu. Dia ada pilihannya sendiri. Dia sudah mengikuti kemahuan ayahnya untuk belajar di Universiti tempatan sahaja walaupun hasrat hatinya melanjutkan pelajaran di luar negara. Tapi mengenangkan mamanya yang tidak boleh berenggang dengannya, dia akur akan permintaan keluarga.


Bersambung.....


Hak Cipta Terpelihara
#CamarDiSenjaSemalam
#NovelBersiriPuanSally
#SetiapAhad10Malam





U ols dah baca kan... suka tak? LIKE dan SHARE ler.. Sharing is caring


0 comments:

Post a Comment

 
Sally's Thoughts © 2011 | Designed by Ibu Hamil, in collaboration with Uncharted 3 News, MW3 Clans and Black Ops