Camar Di Senja Semalam
Penulis: Puan Sally.
Episod 1.
.
Dingin yang menyapa tubuh genit itu di pagi hari membuatkan tuan puteri empunya kamar tidur mewah itu menarik selimut tebal satin berona merah jambu rapat ke lehernya. Jam penggera dari telefon bimbitnya sudah 3 kali berbunyi. Tangan kecil itu cepat sahaja mencapainya dan menekan butang "snooze". Dia tidak berniat untuk bangun seawal itu. Dia seakan lupa akan apa yang akan dilakukannya pada hari itu. hari yang ditunggu-tunggunya sejak 1 bulan yang lalu.
.
"Qisya... Qisya... bangun," pintu diketuk dan kedengaran suara Datin Seri Aini mengejut anak perempuan kesayangannya. Dia sudah dipesan awal-awal lagi oleh Qisya Azara untuk mengejutkannya pada pagi itu kerana anak gadisnya itu akan mendaftarkan diri ke universiti untuk semester akhir pengajiannya setelah 1 bulan mengharungi cuti semester. Sedih juga rasa hatinya bila mengenangkan Qisya akan sibuk kembali. Tidak dapat menemaninya untuk shopping, ke salon dan juga berkepit membawang dengannya di kafe.
.
Qisya anak yang manja. Anak yang dididik dengan penuh kasih sayang dan kemewahan itu pandai mengambil hati orang tua juga. Datin Seri Aini sangat menyayangi Qisya. Dan dia pasti Qisya anak yang baik dan bakal memberikannya menantu yang baik juga.
.
Ramai yang berkenan untuk bermenantukan Qisya. Kawan-kawan Datin Seri Aini selalu mengusik untuk berbesankannya. Datin Seri Aini tahu, mereka bukan hanya mengusik tapi ada hajat dalam usikan mereka. Siapa yang tidak terpesona melihat kecantikan anak gadisnya itu. Berkulit putih gebu kemerahan, muka manis bulat dilengkapi dengan sepasang lesung pipit di pipi, rambut ikal panjang melepasi bahu, diwarnakan dengan warna Burgundy, tampil elegant setiap kali keluar rumah, Qisya punyai penampilannya yang tersendiri. Kembang-kempis juga hidung Datin Seri Aini apabila rakan-rakannya memuji akan kejelitaan anak gadisnya itu.
.
"Mama, kenapa lambat kejut Qisya? Qisya dah lambat ni." pintu bilik dibuka tiba-tiba. Datin Seri Aini terkejut dari lamunan.
.
"Mama dah 5 kali ketuk bilik Qisya tau," Datin Seri Aini memberikan penjelasan. Dia melangkah masuk ke bilik anak gadisnya itu tanpa dijemput. Dia duduk dibirai katil berukiran kayu Mahagony yang ditempah khas dari Indonesia. Qisya sukakan perabot putih. Bilik itu dihias mengikut citarasa Qisya. Katil yang mempunyai tiang di setiap penjuru itu dihiasi dengan kelambu putih persis di resort-resort yang ada di Bali. Qisya sukakan kedamaian. Qisya sukakan konsep moden kontemporari.
.
"Mama keluarlah dulu. Qisya nak mandi dan bersiap dulu. Mama tak payah lah tunggu Qisya kat bilik ni," rengek Qisya yang masih lagi berbaju tidur. Dia tahu mamanya itu akan menunggunya di situ untuk pastikan dia masuk ke bilik air dan mandi. Mamanya risau jika dia akan menyambung balik tidurnya.
.
Datin Seri Aini akur akan permintaan anak gadisnya itu apabila melihat Qisya berjalan ke kamar mandi. Dia turun ke bawah untuk memastikan Mak Siti, pembantu rumahnya sudah menyiapkan sarapan kegemaran Qisya iaitu nasi lemak hijau sambal sotong. Telan liur Datin Seri Aini apabila mengingatkan sambal sotong yang dimasak awal pagi tadi. Belum berjamah lagi. Dia sengaja menunggu Qisya untuk sarapan bersama. Datuk Seri Zakri, suaminya sudah 3 hari berada di Penang atas urusan kerja. Jadi, tiada siapa yang boleh menemaninya untuk sarapan bersama.
.
2 orang lagi anak lelakinya, Qalish Azhan dan Qalish Azrain masing-masing sudah berumahtangga. Jarang sekali mereka datang bertandang ke mahligai itu. Masing-masing sibuk dengan kerja. Sekali-sekala Datin Seri Aini akan menghubungi mereka untuk datang ke rumah apabila beliau merindui cucu-cucunya.
.
Datin Seri Aini turun ke tingkat bawah banglow mewah 3 tingkat yang dilengkapi dengan lift di dalamnya. Dia masuk ke ruangan dapur. Biasanya jika dia berdua dengan Qisya sahaja, Mak Siti yang sudah berkhidmat dengan keluarga Datin Seri Aini sudah lebih 20 tahun itu akan menghidangkan sarapan di meja makan ruangan dapur sahaja. Mak Siti sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Anaknya Sara Dhiya juga seusia Qisya. Mereka rapat sejak dari kecil. Mak Siti dibuang keluarga setelah kematian suaminya semasa usia Sara 2 tahun. Sejak itu, Mak SIti bekerja dan berkhidmat di rumah Datuk Seri Zakri dan Datin Seri Aini yang banyak berjasa kepada beliau. Pengajian dan pembelajaran Sara juga dibiayai oleh keluarga itu.
.
Bersambung.....
U ols dah baca kan... suka tak? LIKE dan SHARE ler.. Sharing is caring
0 comments:
Post a Comment