Rindu dari jauh. Terjaga di malam kelam, memang ku rayu, memang ku pinta. Jika tidak terjaga terasa Allah tidak mahu berjumpa denganku, tidak mahu mendengar rintihan hambanya ini. Selalunya selesai urusan berdua denganNya, aku menarik selimut dan beradu kembali. Saat itu nyanyian dengkuran si suami selalu membatalkan hajat untuk tidur lagi. Tapi malam ini, kedinginan malam yang mendetikkan kerinduan pada insan yang bergelar suami. Biasa orang kata bila dekat rindu tak kuat tapi bila jauh dan tiada di depan mata rindu selalu datang menerjah kamar hati.
Telefon menyanyi pukul 3 pagi tadi. Di sepertiga malam bukanlah panggilan rindu si suami. Tapi nyanyian rindu untuk bangkit mengadap Ilahi. Sesi bercakap dengan Tuhan adalah terapi diri. Kerana tiada seorang pun insan di dunia ini yang boleh membantu meleraikan kekusutan hati kecuali Dia Maha Kuasa ke atas segalanya.
Seperti biasa, bila mata tidak boleh lelap, aku melangkah ke working table di hujung kamar utama rumah ini. Ku buka tirai dan diluar masih kelam. Yang kelihatan hanyalah bayang-bayang pokok yang dipanah sinar lampu jalan. Tidak ada manusia yang lalu lalang. Hati kecil ini mula nakal. Membisikkan kata-kata yang mengecutkan hati. Bayang-bayang pokok sebolehnya diubah dan digambarkan sesuatu yang ngeri. Oh hati, malam ini pula kau nak bergurau. Ku tutup kembali langsir silver yang dipasang 5 tahun lalu. Ya, sudah 5 tahun langsir bilik ini tidak berganti. Huhuhu..
Lantas tangan laju memegang tetikus laptop dan digerak-gerakkan. Skrin yang hitam bertukar cerah, bergambar dan wall facebook ku jelajahi. Yaaa.. dinding inilah tempat berkongsi rasa. Sungguh bijak idea Mat Jubek sehingga mampu membuatkan semua orang menggunakan medium ini. Bagi aku pula bukan sekadar tempat berkongsi dan meluah rasa malah inilah juga medium yang memudahkan urusan mencari rezeki dan membantu insan lain. Pokok pangkal adalah bagaimana kita memanfaatkannya.
Malam ini aku bermonolog sendiri. Muhasabah diri. Mencari punca segalanya yang terjadi. Mengkaji dan bertanya pada Tuhan kenapa perkara yang sama berulang kembali. Dalam selang masa yang sama, Allah berikan aku bahagia, dilimpahkan rezekiNya, dan rupanya dia sentiasa mahu menguji. Ujian untuk membuatkan aku lebih redha, lebih kuat dan mendekatkan aku dengan manusia-manusia ikhlas disekelilingku. Ternyata, Dia tidak lupa, setelah diberi rezeki segalanya, Dia uji pula. Untuk tidak membiarkan aku hanyut mendabik dada di atas segala kemewahannya. Kerana setiap hari ku pinta, janganlah pemberian Mu ini adalah pemberian istidraj. Yang menjauhkan aku dari jalanMu Ya Allah.
Ku lihat sekeliling. Anakanda berdua sedang lena dibuai mimpi. Hati ini tetiba rindu akan bonda. Wajah bonda berlegar diruang mata. Semalam kami berborak. Aku merayu bonda untuk datang ke sini. Ada satu pusat terapi yang akan aku bawa bonda ke sana. Tangan kirinya masih tidak boleh angkat dengan sempurna. Aku rayu bonda datang dan tinggal barang sebulan dua bersama. Aku mahu yang terbaik untuknya. Dia ibuku. Akan ku ikhtiar untuk kesembuhannya. Ya Allah sembuhkanlah ibuku sepenuhnya. Aura kekuatan bonda yang ku kagumi. Dugaannya lebih berat tapi dia cekal menghadapi. Sepanjang hayatnya susah senang direnangi. Dan dihayat ini, ujian berat diberikan namun dia terus bangkit memperkuatkan diri. Aku mahu sehebatnya. Kenapa aku tidak boleh sekuatnya? Kenapa aku harus lemah dengan dugaan sekecil ini?
Sekali lagi wajah 2 puteri ku amati. Sedalamnya. Aku mahu dilihat kuat di mata mereka. Tiba tiba aku rindu. Rindu pada usapan dikepala. Usapan dari seorang suami. Saat begini, jika dalan kemurungan ada seorang insan yang setia. Setia mendengar setiap keluh rasa. Insan yang memahami dan membuatkan aku rasa tidak bersendiri. Betul kata orang bila jauh dihargai. Bila tiada dicari. Seorang isteri yang rindu dan sangat memerlukan sokongan dan bimbingan seorang suami.
Suhaili bermaksud kemudahanku. Kau permudahkanlah segala urusanku Ya Allah. Kerana niatku satu. Membahagiakan orang sekelilingku dan menjadi insan yang bermanfaat pada orang lain juga.
Salam sayang...
Rintihan seorang anak, isteri dan ibu
Hamba yang banyak khilafnya,
Sally Sabri 😍
U ols dah baca kan... suka tak? LIKE dan SHARE ler.. Sharing is caring
0 comments:
Post a Comment