Camar Di Senja Semalam - Episod 3

Camar Di Senja Semalam
Penulis: Puan Sally
Episod 3

MINI Cooper S 3 pintu berwarna Solaris Orange dan berbumbung kemasan hitam meluncur laju memasuki Fakulti Pengurusan dan Pentadbiran. Zara Qisya membelok kereta masuk ke parkir yang dikhaskan untuk pelajar. Dari jauh dia sudah nampak sebuah Volkswagen Beetle berwarna merah milik sahabat baiknya Nabila. Dia terus meluncur laju dan parkir di sebelah kereta itu.

Zara Qisya mematikan enjin kereta dan sempat melihat cermin pandang belakang. Disekanya juraian anak rambut di dahi. Dia mula membuka pintu kereta dan melangkah ke luar. Kasut tumit tinggi berwarna hijau tua jenama Yves Saint Laurent pemberian mamanya menjadi pilihan pada hari itu. Tumit memijak kemasan lantai simen parkir dan si empunya diri berdiri tegak sambil membetulkan dress labuh yang dipakainya.

“Hai si cantik jelita..”

Suara seorang jejaka mengejutkan Qisya. Dia kenal benar suara itu. Qisya menoleh dan melihat si empunya suara tersengeh memandangnya. Firdaus yang sentiasa segak penampilannya, hari itu mengenakan t-shirt berkolar berwarna biru tua dan berseluar jeans dilengkapi dengan cermin mata hitam melengkapkan gaya pemuda pujaan ramai itu. Dia mampu membuatkan ramai gadis angau melihatnya. Dia sentiasa tampil bergaya dan hebat. Ramai gadis yang cuba merebut hati pemuda itu tapi dihatinya dia hanya mempunyai impian yang satu iaitu memiliki cinta si puteri Zara Qisya, sahabat baik adiknya itu.

“Nabila mana?” tanya Qisya. Dia tidak senang dilihat dan diteliti oleh pemuda itu. Qisya tahu Firdaus sudah membawanya ke sebuah taman bunga dan mereka berlari-lari sambil berpegangan tangan di dalam khayalan saat itu. Nabila sering menceritakan bagaimana Firdaus selalu berangan akan memiliki Qisya dan mereka akan hidup berbahagia selamanya.

Qisya naik jelak mendengar khayalan abang sahabat baiknya itu dan dia sendiri tidak menyangka pemuda yang digilai ramai itu, terlihat sado, arogan dan berkarisma tetapi mempunyai sekeping hati Hindustan yang kadang kala tidak kena dengan penampilannya. Kadang-kadang Qisya juga pelik, kenapa dia yang dikejar oleh lelaki itu? Sedangkan Firdaus mampu mendampingi seorang model cantik menjadi pasangannya. Dia juga tahu Syilla, model hebat di pentas peragaan sudah bertahun mengejar cinta pemuda itu.

“Abang Fir, Nabila mana?” ulang Qisya lagi. Kali ini suaranya agak kuat mengejutkan lamunan Firdaus.

“Ohhh.. Abang dah makan. Qisya makanlah.” balas Firdaus sambil memberikan senyuman paling manis. Sudah sebulan lebih dia menantikan saat itu. Sejak cuti semester dia tidak berpeluang berjumpa dengan Qisya. Gadis itu sentiasa menolak pelawaannya. Dia juga beberapa kali berpakat dengan adiknya untuk mengajak Qisya keluar tapi gadis itu seolah dapat menghidu agendanya.

“Abang Fir, Qisya bukan tanya Abang dah makan ke tak. Qisya tanya mana Nabila?”

“Ohhh.. hmm mmm.. Nabila tunggu Qisya kat kafe.” Firdaus termalu sendiri. Dia pasti Qisya sudah mengagak dirinya sudah mengelamun sebentar tadi.

“Jom pergi kafe. Mesti Nabila tengah tunggu kita. Abang Fir datang kat kereta tadi nak ambik telefon abang tertinggal.” jelas Firdaus tanpa ditanya.

Mereka melangkah bersama beriringin ke kafe yang tidak jauh terletak dari tempat parkir kereta. Firdaus rasa bahagia dapat berjalan disebelah gadis idamannya itu.

Beberapa pasang mata memerhatikan mereka tidak dipedulikan langsung oleh Qisya. Ada yang mengkagumi gandingan si cantik dan si kacak itu dan ada juga yang cemburu akan kemesraan mereka.

Dari jauh kelihatan Nabila tersengeh dan melambai. Dia memanggil sahabat baik dan abangnya itu datang ke mejanya.

“Kepak kepakkk kepong kepong... kepak kepakkk kepong kepong..” Nabila ghairah membunyikan nada kompang persis mengiringi pasangan pengantin baru dua sejoli berjalan menuju pelamin impian.

“Bil...” Zara Qisya menjeling tajam kepada sahabatnya itu. Nabila tahu sahabatnya tidak suka dia diusik begitu tapi berlainan pula dengan abangnya. Abang kandungnya itu semakin galak bila dipadankan dengan Zara Qisya. Jelas terpancar wajah bahagia Firdaus bila diusik dengan bunyi pukulan kompang.

Firdaus menarik kerusi di depan Nabila. Dia mempelawa Zara Qisya untuk duduk di situ dan dalam hatinya dia berniat untuk duduk di sebelah Qisya. Tapi Zara Qisya telah menarik kerusi lain disebelah Nabila dan melabuhkan punggungnya di situ. Hancur berkecai harapan Firdaus. Tapi dia cepat-cepat mengawal air muka kecewanya.

“Qisya nak makan apa? Abang order kan.” tanya Firdaus cuba bermesra dan cuba mengambil hati gadis itu.

“Tak apa lah abang. Qisya dah makan nasi lemak hijau kat rumah. Mama buatkan.” terang Qisya jujur.

“Mak aiii sedapnya nasi lemak hijau. Kenapa kau tak tapau untuk aku sekali.” celah Nabila.

“Lorrr. Nak makan air tangan mama aku, kenalah datang rumah.” Qisya berseloroh dan tanggannya mendarat di meja makan. Dia tidak perasan ada lelehan air Teh O Ais di situ. Meja itu tidak dilap bersih. Habis tangannya basah dan melekit.

“Alaaa.. Bil. Nape tak suruh orang tu lapkan dulu meja ni.” Qisya mengomel manja dengan rengekan bagaikan anak kecil.

Firdaus cepat-cepat menghulurkan tisu.

“Tulah. Tolak tuah. Abang Fir suruh duduk kat sini nak duduk kat tepi Bil.” Firdaus membebel sepertinya masih tidak puas hati Qisya tidak mahu duduk disebelahnya.

Qisya bingkas bangun untuk ke sinki. Dia ingin membersihkan tangannya yang melekit dan sebahagiaan lengan bajunya juga basah.

Saat dia bingkas bangun tiba-tiba..

“Pranggggg....” sedulang sarapan jatuh bersepai ke lantai. Semua pengunjung kafe memandang ke arah mereka. Jejaka yang memegang dulang sarapan itu membeliakkan mata memandang Zara Qisya.

“So... sorry... I tak perasan.” Zara Qisya menoleh melihat tuan empunya dulang yang sudah bersepai ke lantai. Dia tahu dia telah bangun dari kerusi dengan tergesa-gesa tanpa signal. Dan tangannya telah melanggar dulang pemuda itu.

Saat dia melihat pemuda pemilik dulang sarapan itu, hatinya berdebar dan jantungnya berdetak laju.

Bersambung.....

Hak Cipta Terpelihara
#CamarDiSenjaSemalam
#NovelBersiriPuanSally
#SetiapAhad10Malam


U ols dah baca kan... suka tak? LIKE dan SHARE ler.. Sharing is caring


0 comments:

Post a Comment

 
Sally's Thoughts © 2011 | Designed by Ibu Hamil, in collaboration with Uncharted 3 News, MW3 Clans and Black Ops